Hidroponik
Hidroponik (berasal daripada perkataan Greek hydro iaitu air
dan ponos iaitu bekerja) adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air
baja (nutrien) tanpa mengunakan tanah. Kaedah ini
menggunakan bahan seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah,
habuk kayu dan lain-lain menggantikan tanah.
Penanaman secara hidroponik dilakukan oleh individu
sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil. Di negara Singapura misalnya, oleh
kerana kekurangan tanah, bumbung-bumbung bangunan dijadikan tempat untuk
menanam sayur-sayuran seperti bak choy, sawi, kailan dan bayam di mana semuanya
menggunakan kaedah hidroponik. Begitu juga, untuk penerokaan angkasa lepas,
angkasawan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran di dalam kapal angkasa. Kaedah
yang sama digunakan oleh tentera di atas kapal perang, maupun kapal selam.
Dengan cara ini mereka tidak perlu membawa bekalan makanan yang banyak, hanya
sekadar membawa benih-benih sayur-sayuran dan boleh ditanam semasa dalam
perjalanan.
Sejarah
Mengikut sejarah, kaedah ini telah lama digunakan sejak
kurun ke-16 Masihi. Taman Tergantung Babylon dipercayai
telah menggunakan hidroponik ini sebagai satu kaedah penanaman tanaman. Pada
tahun 1937, W.F. Gericke dari Pusat Penyelidikan Pertanian California, Amerika Syarikat telah memperkenalkan kaedah ini secara komersil. Sejak
itu sistem hidroponik ini diperkembang dan diperkemaskan dengan pelbagai teknik
yang direka khas sesuai untuk tujuan komersil.